Selasa, 10 Mei 2011

Renungan

Daripada Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu 'anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah S. A. W yang mana dia telah menyatakan tujuannya : Wahai Rasulullah! sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat.
Maka baginda S. A. W telah berkata kepadanya Tanyalah apa yang engkau kehendaki :

1. Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang alim

Baginda S. A. W menjawab : Takutlah kepada Allah maka engkau akan jadi orang yang alim


2. Dia berkata : Aku mahu menjadi orang paling kaya

Baginda S. A. W menjawab : Jadilah orang yang yakin pada diri maka engkau akan jadi orang paling kaya

3. Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang adil

Baginda S. A. W menjawab: Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka jadilah engkau seadil-adil manusia

4. Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang paling baik

Baginda S. A. W menjawab: Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik manusia

5. Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang istimewa di sisi Allah

Baginda S. A. W menjawab : Banyakkan zikrullah nescaya engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah

6. Dia berkata : Aku mahu disempurnakan imanku

Baginda S. A. W menjawab : Perelokkan akhlakmu nescaya imanmu akan sempurna

7. Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsinin (baik )

Baginda S. A. W menjawab : Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak merasa begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan termasuk golongan muhsinin

8. Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang taat

Baginda S. A. W menjawab : Tunaikan segala kewajipan yang difardhukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat

9. Dia berkata : Aku mahu berjumpa Allah dalan keadaan bersih daripada dosa

Baginda S. A. W menjawab : Bersihkan dirimu daripada najis dosa nescaya engkau akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa

10. Dia berkata : Aku mahu dihimpun pada hari qiamat di bawah cahaya

Baginda S. A. W menjawab : Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitung pada hari qiamat di bawah cahaya

11. Dia berkata : Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari qiamat

Baginda S. A. W menjawab : Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain nescaya Allah akan mengasihanimu pada hari qiamat

12. Dia berkata : Aku mahu dihapuskan segala dosaku

Baginda S. A. W menjawab : Banyakkan beristighfar nescaya akan dihapuskan (kurangkan ) segala dosamu

13. Dia berkata : Aku mahu menjadi semulia-mulia manusia

Baginda S. A. W menjawab : Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain nescaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia

14. Dia berkata : Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia

Baginda S. A. W menjawab : Sentiasa menyerah diri (tawakkal) kepada Allah nescaya engkau akan jadi segagah-gagah manusia

15. Dia berkata : Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah

Baginda S. A. W menjawab : Sentiasa berada dalam keadaan bersih ( dari hadas ) nescaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu

16. Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh Allah dan rasulNya

Baginda S. A. W menjawab : Cintailah segala apa yang disukai oleh Allah dan rasulNya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai oleh Mereka

17. Dia berkata : Aku mahu diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari qiamat

Baginda S. A. W menjawab : Jangan marah kepada orang lain nescaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasulNya

18. Dia berkata : Aku mahu diterima segala permohonanku

Baginda S. A. W menjawab : Jauhilah makanan haram nescaya segala permohonanmu akan diterimaNya

19. Dia berkata : Aku mahu agar Allah menutupkan segala keaibanku pada hari qiamat

Baginda S. A. W menjawab : Tutuplah keburukan orang lain nescaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari qiamat

20. Dia berkata : Siapa yang terselamat daripada dosa?

Baginda S. A. W menjawab : Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan

21. Dia berkata : Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?

Baginda S. A. W menjawab : Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala )

22.Dia berkata : Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?

Baginda S. A. W menjawab : Buruk akhlak dan sedikit ketaatan

23. Dia berkata : Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat ?

Baginda S. A. W menjawab : Sedekah dalam keadaan sembunyi ( tidak diketahui ) dan menghubungkan kasih sayang

24. Dia berkata: Apakah yang akan memadamkan api neraka pada hari qiamat?

Baginda S. A. W menjawab : sabar di dunia dengan bala dan musibah

Telah berkata Imam Mustaghfirin: aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanfaat selain hadis ini....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan